30 Tahun Masih Di Puncak, Siti Nurhaliza Hadiahkan Konsert & Album Istimewa
- Ain Najihah
- 6 days ago
- 2 min read

Tiga dekad menapak dalam industri muzik bukan satu perjalanan yang mudah, namun Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin membuktikan bahawa dengan kesabaran yang tinggi, beliau mampu kekal relevan dan terus bersinar dalam dunia seni tanah air. Bagi meraikan 30 tahun penglibatannya sebagai anak seni, Siti Nurhaliza tampil dengan pelbagai perancangan istimewa buat para peminat.
Maklumat awal mengenai konsert jelajah ini telah dikongsikan secara tidak rasmi pada hari terakhir acara Siti Nurhaliza 30th Anniversary yang berlangsung di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini. Menerusi hantaran di platform X, Siti turut merancang untuk mengadakan konsert selama dua malam di Genting Highlands pada bulan Julai, diikuti dengan konsert di Indonesia pada bulan September. Konsert itu dijangka menjadi sorotan utama memandangkan ia bakal menghimpunkan rangkaian lagu-lagu hits Siti sepanjang kerjayanya, dari era awal hingga ke hari ini.
Tidak terhenti di situ, beliau turut mengumumkan akan mengadakan konsert di Singapura pada bulan November. Ini menunjukkan komitmen Siti untuk terus menyantuni peminat di rantau Asia Tenggara yang telah lama menyokong kerjayanya.
Sebagai kemuncak penutup tahun, Siti turut berkongsi berita gembira bahawa beliau kini dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah album tradisional yang dijangka akan dilancarkan pada bulan Disember ini. Album tersebut bakal menjadi satu penghargaan buat muzik tradisional Melayu yang kian dilupakan, selari dengan misinya untuk terus mengangkat budaya dan warisan bangsa.
Menurut Siti, beliau masih membuka peluang kepada mana-mana komposer yang ingin mencipta lagu tradisional terbaik untuk disertakan dalam album tersebut.
“Saya masih membuka peluang untuk sesiapa sahaja komposer yang ingin menciptakan lagu tradisional yang terbaik dan saya akan terima dengan hati terbuka. Jadi, mereka dah boleh hantar daripada sekarang,” ujarnya penuh semangat.
Ternyata, tahun ini menjadi tahun istimewa buat Datuk Seri Siti Nurhaliza bukan sahaja sebagai penghibur, tetapi sebagai ikon seni yang terus menyumbang kepada dunia muzik dengan penuh dedikasi dan cinta terhadap warisan budaya.
Yorumlar