
Lagu Gasoline, yang berentak blues rock rancak, merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh Akim & The Majistret. 'Gasoline' juga menjadi salah satu karya yang bakal menghiasi album terbaru mereka, yang kini masih dalam proses pembikinan.
Menurut vokalis utama kumpulan ini Akim Ahmad, mendedahkan bahawa lagu 'Gasoline' telah dicipta sejak sekian lama. Melodinya terlebih dahulu disiapkan manakala liriknya hanya ditulis kemudian, sebelum melalui proses rakaman dan pelancaran rasmi.
Pemilihan judul 'Gasoline' membawa makna mendalam mengenai tenaga dan semangat untuk terus maju dalam kehidupan, ibarat bahan api yang menggerakkan kenderaan ke hadapan.
"Setiap hari, kita memerlukan tenaga dan semangat untuk mengatasi cabaran. Itulah simbolik 'Gasoline', sebuah karya yang diharap dapat menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat buat pendengar agar tidak mudah berputus asa dalam menghadapi liku-liku kehidupan," ujar Akim.
Akim juga menyifatkan 'Gasoline' sebagai lambang kekuatan dan motivasi untuk manusia terus maju.
"Dari segi impak dan harapan, kami berharap 'Gasoline' akan mendapat sambutan baik daripada peminat muzik tempatan serta memberi inspirasi kepada mereka untuk terus bersemangat dalam menjalani kehidupan," tambahnya.
Dari sudut rakaman, Akim menegaskan bahawa 'Gasoline' masih mengekalkan identiti muzik Akim & The Majistret, namun hadir dengan sentuhan yang lebih segar dan dinamik.
"Lagu ini membawa nuansa blues yang berbeza daripada karya kami sebelum ini, seperti Saksama. Proses rakaman dilakukan dengan penuh ketelitian, melibatkan setiap ahli kumpulan secara menyeluruh, termasuk rakaman gitar yang dirakam secara eksklusif di studio peribadi gitaris kami," jelasnya.
Menjadikannya lebih istimewa, 'Gasoline' turut menampilkan kolaborasi istimewa dalam penulisan lirik bersama penulis lirik berbakat, Bunga Cantik yang juga isteri Akim iaitu Stacy. Sentuhannya bukan sahaja memperkayakan makna lagu ini, malah menyempurnakan keseluruhan karya.
"Dari segi susunan muzik, setiap ahli kumpulan memainkan peranan penting dalam mencorakkan melodi dan struktur lagu, menjadikan 'Gasoline' sebuah karya yang mantap, bertenaga, dan penuh emosi," tambah Akim.
‘Gasoline’ terbitan Nova Music kini boleh mula distrim di semua platform penstriman muzik.
Comments