Filem seram Anak Kunti bukan sekadar cerita hantu biasa. Kali ini, lagenda Kuntilanak—yang kita selalu dengar dalam kisah seram dulu-dulu—dibawa ke layar perak dengan sentuhan moden dan lebih beremosi.

Mengambil latar tahun 90-an, filem ini mengisahkan Sarah (Gisellma Firmansyah), seorang pelajar pesantren yatim piatu yang pulang ke kampung halamannya, Desa Wonoenggal, untuk mencari asal-usul keluarganya. Tapi, kepulangannya membuka satu misteri besar—kemunculan Kuntilanak yang dipercayai jelmaan ibu kandungnya sendiri!
Apa yang menarik tentang Anak Kunti ialah bagaimana ia menampilkan Kuntilanak bukan hanya sebagai hantu menakutkan, tapi juga sebagai simbol trauma, keibuan, dan ketakutan masyarakat terhadap hal-hal yang belum selesai dari masa lalu. Ditambah dengan elemen seram psikologi dan kesan bunyi Dolby Atmos, filem ini menjanjikan pengalaman seram yang lebih real dan mendalam.

Barisan pelakon juga tidak kurang hebatnya. Nita Gunawan yang memegang watak Kuntilanak mengakui babak melahirkan anak adalah antara cabaran terbesar baginya, manakala Abun Sungkar dan Iwa K turut menghadapi pengalaman mencabar sehingga mengalami kecederaan sebenar ketika penggambaran. Malah, beberapa pelakon terpaksa bertutur dalam bahasa Jawa, menambah lagi cabaran dalam menjayakan watak mereka.

Dengan tayangan di sembilan negara termasuk Malaysia, Singapura, dan Thailand, Anak Kunti membuktikan bahawa cerita seram dari legenda lama masih boleh relevan dan segar jika diceritakan dengan cara yang betul. Jadi, bersedia untuk merasai pengalaman seram yang bukan sekadar menakutkan, tetapi juga penuh dengan emosi dan makna.
Comments