top of page

‘Bidaah’ Catat Fenomena: Drama #1 di Viu Malaysia dan Indonesia


Drama bersiri Bidaah meraih kejayaan luar biasa apabila menjadi drama paling popular di platform penstriman Viu, bukan sahaja di Malaysia, malah turut mengungguli carta tontonan di negara seberang Indonesia.

 

Terbitan Erma Fatima, Bidaah yang mula ditayangkan pada 6 Mac 2025 telah mencatat lebih 134 juta tontonan serta 44 juta capaian di media sosial.

 

Ia berjaya mengatasi beberapa drama Korea popular seperti Undercover High School, The Witch, dan Study Group.

 

Di Indonesia, drama ini mendapat sambutan hangat dengan komen netizen menyatakan jalan ceritanya sangat relevan dengan realiti kehidupan masyarakat di sana.

 

Malah, menurut data Google Trends, Bidaah turut menjadi antara carian paling popular di Thailand, Singapura, dan Brunei.

 

Drama ini mengisahkan Baiduri (Riena Diana), seorang wanita muda yang dipaksa oleh ibunya, Kalsum (Fazlina Ahmad Daud), untuk menyertai sebuah kumpulan agama, Jihad Ummah, yang diketuai oleh Walid Muhammad (Faizal Hussein). Namun, Baiduri mula menyedari ajaran kumpulan itu penuh dengan amalan mencurigakan, termasuk perkahwinan paksa dan kepatuhan membuta tuli.

 

Kehadiran Hambali (Fattah Amin), anak kepada orang kanan Jihad Ummah, Abi Saifullah (Hasnul Rahmat), menambah konflik apabila Baiduri semakin yakin bahawa kumpulan itu telah menyimpang. Bersama Hambali, Baiduri berusaha melindungi ibunya dan membongkar kebenaran, meskipun nyawanya sendiri terancam.

 

Hanya berbaki enam episod lagi, drama ini akan ditayangkan setiap hari Khamis, Jumaat, dan Sabtu.

 

Drama arahan Pali Yahya itu dibintangi oleh Faizal Hussein, Fattah Amin, Riena Diana, Fazlina Ahmad Daud, Hasnul Rahmat, Vanidah Imran, Fathia Latiff dan Marissa Yasmin.

 

Drama ini boleh ditonton secara percuma melalui aplikasi Viu yang tersedia di App Store, Google Play, Galeri Aplikasi Huawei serta beberapa TV pintar terpilih.

 
 

Comentarios


bottom of page