top of page

“Bos Idaman” – Khairul Aming Belanja 100 Staf Shopping Raya


Jika ada anugerah untuk “bos paling sporting”, usahawan dan pempengaruh terkenal Khairul Amin Kamarulzaman, atau lebih dikenali sebagai Khairul Aming, pastinya calon utama!


Baru-baru ini, Khairul Aming sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila menghadiahkan pengalaman istimewa kepada hampir 100 orang stafnya sempena Hari Raya Aidilfitri.


Video yang dikongsi di Instagram pada 25 Mac itu bukan sahaja mendapat lebih 6.1 juta tontonan dalam masa kurang 24 jam, tetapi juga dibanjiri ribuan komen yang memuji kemurahan hatinya.


Dalam video tersebut, Khairul Aming berkongsi bagaimana kedua-dua kilangnya di Kota Bharu ditutup sehari pada 24 Mac untuk meraikan pekerja dengan aktiviti shopping raya, pemberian duit raya tebal, dan berbuka puasa di hotel mewah.


Menurutnya, acara ini bukan sekadar hiburan tetapi juga tanda penghargaan atas usaha keras pekerjanya sepanjang tahun.


Sambutan dimulakan dengan sesi membeli pakaian raya, di mana staf lelaki menerima baju Melayu lengkap dengan sampin, manakala staf wanita diberikan set baju dan tudung pilihan mereka.


Mereka kemudian dibawa membeli barangan dapur serta keperluan persiapan raya di sebuah pasar raya.


Untuk memudahkan urusan, Khairul Aming turut menyewa sebuah lori khas bagi mengangkut barang yang dibeli.


Keistimewaan tidak berhenti di situ! Pekerja turut menerima duit raya dalam sampul tebal berisi wang RM100 sebagai persiapan menyambut Syawal, selain turut menerima kuih raya.


Menutup hari penuh bermakna itu, Khairul Aming membawa stafnya menikmati hidangan buffet berbuka puasa di sebuah hotel mewah.


Ramai netizen bergurau ingin menyertai syarikatnya, dengan ada yang bertanya sama ada beliau mempunyai jawatan kosong.


Selain kejayaan dalam perniagaan dengan jenama Sambal Nyet Berapi dan Dendeng Nyet Berapi, Khairul Aming turut menarik perhatian antarabangsa apabila bertemu Perdana Menteri New Zealand, Christopher Luxon, pada September lalu sebagai penghargaan atas kandungan perjalanannya yang mempromosikan budaya dan makanan negara itu.


Nampaknya, Khairul Aming bukan sahaja pakar dalam mencipta produk viral, tetapi juga dalam menjaga kebajikan pekerjanya – benar-benar bos idaman ramai!

 
 

Bình luận


bottom of page