Cakra Khan Gegar Malaysia & Singapura Julai Ini Dengan ‘Divine Concert’!
- Nurul Safiah
- 5 days ago
- 2 min read
Updated: 3 days ago

Buat para peminat setia penyanyi bersuara emas dari Indonesia, Cakra Khan, bersiap sedialah untuk merasai keajaiban Divine Concert – Cakra Khan yang bakal berlangsung di dua lokasi eksklusif iaitu di Singapura dan Kuala Lumpur pada Julai dan Ogos ini!
Konsert yang diinspirasikan daripada album keduanya, Divine, akan membuka tirai di The Star Theatre, Singapura pada 18 Julai 2025 sebelum menggamatkan Plenary Hall, Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2025.
Menurut penganjur Shiraz Projects, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi sebuah pengalaman luar biasa dan penuh magis, sejajar dengan makna “Divine” yang membawa konotasi ‘hebat’, ‘mega’, dan ‘luar biasa’.
Divine Concert – Cakra Khan akan menjadi sebuah konsert yang luar biasa dan magis seperti perjalanan panjang penyanyi ini.
“Selepas 11 tahun, Cakra Khan akhirnya muncul dengan album kedua iaitu Divine. Dan signifikan dengan kelahiran album tersebut pada tahun lalu, kami mahu menggunakan konotasi Divine yang membawa maksud lebih kurang ‘luar biasa’, ‘hebat’ dan ‘mega’ ini divisual dalam konsep konsert,” kata Shirazdeen Karim, Pengarah Urusan Shiraz Projects.
Konsert ini akan menyajikan rangkaian lagu dari album Divine serta lagu klasik malar segar seperti Kekasih Bayangan, Mencari Cinta Sejati, dan Salah Tapi Baik, semuanya bakal dipersembahkan secara langsung dengan vokal unik Cakra Khan yang menjadi pujaan ramai.
Permintaan tinggi dari peminat di Malaysia dan Singapura menjadi sebab utama konsert ini diadakan di dua negara.
“Oleh kerana permintaan peminat yang tinggi untuk melihat Cakra Khan beraksi secara solo dalam konsertnya maka kami bersetuju untuk mengadakan ia di dua negara dengan lokasi yang sememangnya mengujakan.
“Jadi peminat, pilihan di tangan anda. Mahu hadir ke Malaysia atau Singapura atau di kedua-dua negara juga sangat dialu-alukan,” katanya.
Peminat Singapura boleh mendapatkan tiket di www.sistic.com.sg, manakala peminat Malaysia boleh membeli menerusi www.myticket.asia.. Tiket boleh mula dibeli pada 12 Februari 2025 jam 10 pagi.
Cakra Khan turut meluahkan rasa teruja dan berjanji memberikan persembahan terbaik buat para peminat.
“Apa yang pasti kalian akan menikmati Divine Concert – Cakra Khan seperti mana saya selalu menikmati apresiasi anda semua terhadap saya,” katanya.
Comments