Coklat atau Beg Tangan? Louis Vuitton Gabungkan Kedua-duanya!
- Ain Najihah
- 4 days ago
- 2 min read

Jenama mewah terkemuka dari Perancis, Louis Vuitton, mencipta kelainan sempena Paskah dengan berkolaborasi bersama cef pastri ternama, Maxime Frédéric, untuk memperkenalkan koleksi coklat eksklusif termasuk telur Paskah unik yang diinspirasikan daripada rekaan beg tangan ikonik oleh Nicolas Ghesquière, pengarah artistik bagi koleksi wanita.
Beg ikonik yang berbentuk telur daripada koleksi Louis Vuitton musim bunga/panas 2019 kini hadir dalam bentuk yang cukup menggoda. Beg ini diperbuat sepenuhnya daripada coklat mewah! Buat julung kalinya, rekaan eksklusif ini diolah menjadi karya manisan yang memukau, lengkap dengan ukiran monogram LV, pemegang menyerupai kulit, serta penarik zip yang tampak realistik.
Bahagian luar beg ini diperbuat daripada 70% coklat gelap premium, manakala pemegang dan zipnya pula menggunakan 40% coklat susu. Di dalamnya, terdapat bar coklat susu 40 peratus yang mengandungi inti Gianduja kacang hazel yang lembut.
Ciptaan eksklusif ini hanya ditawarkan dalam edisi terhad dan dijual pada harga 225 euro (RM1,105.83) menjadikannya bukan sekadar pencuci mulut, tetapi juga karya seni yang boleh dinikmati.
Koleksi Louis Vuitton Easter turut memberi nafas baharu kepada telur Paskah tradisional melalui tiga resipi iaitu dua menggunakan coklat gelap dan satu menggunakan coklat susu, yang boleh didapati di dalam sebuah kotak yang berisi 3-6 potong coklat.
Lebih menarik lagi, koleksi ini turut memperkenalkan versi moden telur Paskah klasik dengan tiga pilihan resipi menarik iaitu dua menggunakan coklat gelap dan satu lagi coklat susu.
Telur coklat gelap hadir dengan isian karamel raspberi bersama pralin pistachio, atau kombinasi karamel berkrim, vanila biru dari Pulau Réunion dan gianduja yang rangup. Bagi pencinta coklat susu, mereka pasti terpesona dengan telur berinti karamel berkrim yang diperkaya vanila Tahiti dan pralin kacang hazel. Satu set tiga biji telur dijual pada harga 40 euro (RM 196.59) , manakala enam biji berharga 70 euro (RM 344.04)
Comentarios