top of page

‘Cukup Kita’ Kalaborasi Emosi Ayu Damit dan Emeer Bakri

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • 9 hours ago
  • 2 min read

Lagu duet terbaharu berjudul Cukup Kita hasil kolaborasi hebat Ayu Damit dan Emeer Bakri kini menjadi runut bunyi (OST) untuk drama bersiri slot Akasia TV3, Calon Isteri Buat Suami.

 

Mengangkat tema kekecewaan dalam percintaan, Cukup Kita menyentuh perasaan pendengar melalui lirik yang mengisahkan tentang setia yang dikhianati serta janji yang dimungkiri. Dengan gabungan muzik balada moden, elemen string sinematik dan harmoni vokal yang menyentuh jiwa, lagu ini menjadi pelengkap sempurna untuk drama sarat emosi tersebut.

 

Pencipta lagu dan penulis lirik, Amsyar Sabri dan Emeer Bakri berkata, idea tercetus ketika mereka mendengar lagu-lagu Inggeris berunsur pop balada moden.

 

Genre yang jarang diketengahkan di Malaysia, mereka mengambil inisiatif untuk menghidupkan kembali irama sebegitu dengan sentuhan tempatan.

 

“Proses ciptaan melodi dan demo hanya ambil masa sehari, dan keseluruhan lagu siap dalam dua minggu. Tapi yang paling istimewa, saya berpeluang berkolaborasi dengan Kak Ayu yang memiliki vokal luar biasa,” kata Emeer.

 

Ayu Damit, yang kini muncul dengan single keempatnya bersama Alternate Records, turut berkongsi pengalaman positif sepanjang kolaborasi tersebut.

 

“Emeer seorang yang sangat kreatif dan senang bekerjasama, proses rakaman pun berjalan lancar. Cukup Kita menyatukan kekuatan vokal kami dalam sebuah lagu yang mudah diingati, penuh emosi dan sarat mesej,” ujar Ayu.

 

Drama Calon Isteri Buat Suami yang mula ditayangkan pada 8 April lalu turut menerima sambutan hangat daripada penonton.

 

Lagu Cukup Kita turut diinspirasikan daripada kisah dalam drama tersebut, menjadikannya lebih dekat dengan jalan cerita dan konflik yang dihadapi oleh watak utama.

 

Orang ramai boleh menikmati lagu ini di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube.

 

Jangan lupa untuk terus mengikuti drama Calon Isteri Buat Suami yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di TV3.



Comments


bottom of page