
Filem aksi terbaharu Blood Brothers semakin mendapat perhatian menjelang
tayangannya pada 10 April 2025. Sebagai sebahagian daripada siri jelajah promosi, pasukan produksi dan para pelakon hadir memeriahkan Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 (ABXGFR’25) di MITEC, Kuala Lumpur yang merupakan lokasi ketiga selepas kejayaan di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri, Cheras dan Bazar Ramadan Presint 14, Putrajaya.

Acara ini menarik ribuan peminat yang ingin bertemu dengan barisan pelakon utama seperti Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle, Shukri Yahaya, Amelia Henderson dan ramai lagi. Peminat yang hadir turut dihiburkan dengan pelbagai aktiviti termasuk permainan pentas, persembahan artis Muzza serta tayangan eksklusif babak aksi yang mendebarkan daripada Blood Brothers.

Menurut Sharnaaz Ahmad, mereka sangat teruja melihat sokongan luar biasa terhadap Blood Brothers.
“Ini bukan sekadar filem aksi biasa, tetapi sebuah kisah yang penuh emosi dan aksi yang bakal membuat penonton terpaku,” katanya.
Filem ini diterbitkan oleh Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran. Blood Brothers mengangkat tema kepercayaan, pengorbanan dan nilai persaudaraan dalam dunia yang penuh tipu daya. Dengan gabungan pelakon yang berkaliber dan aksi berkualiti tinggi, filem ini dijangka akan menjadi filem aksi tempatan yang paling dinantikan tahun ini.
Sementara itu, Absolut Bazaar x Festival Gaya Raya 2025 terus mencipta fenomena sebagai festival perayaan terbesar pada tahun ini dengan lebih 700 vendor dan sasaran 2 juta pengunjung. Acara yang berlangsung selama 66 jam tanpa henti dari 21 hingga 24 Mac 2025 ini turut menampilkan selebriti terkenal seperti Uqasha Senrose, Aprena Manrose, Awal Ashaari, De Fam, Hael Husaini dan ramai lagi.
Siri jelajah Blood Brothers ini akan diteruskan ke beberapa lokasi lain sepanjang Ramadan. Peminat boleh mengikuti perkembangan terkini di media sosial rasmi Primeworks Studios. Jangan lepaskan peluang untuk menyertai kemeriahan acara ini dan nantikan tayangan rasmi Blood Brothers di pawagam bermula 10 April 2025.
Kommentare