top of page

Drama “Calon Isteri Buat Suami” Tampil Di Slot Akasia TV3

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • 2 days ago
  • 2 min read

Sebuah lagi karya drama tempatan bakal menghiasi slot popular Akasia di TV3 menerusi tayangan Calon Isteri Buat Suami, yang dijadualkan mula bersiaran pada 8 April 2025.

 

Drama bersiri ini akan ditayangkan setiap Isnin hingga Jumaat pada jam 7.00 malam, dan turut boleh distrim secara percuma di platform iQIYI pada jam 8.00 malam.

 

Diterbitkan oleh Sha’s Media Sdn. Bhd. dan diarahkan oleh Bahri Umar, drama ini menampilkan Siti Hariesa dan Jazmy Juma sebagai peneraju utama.

 

Skrip hasil penulisan Sophilea mengangkat tema cinta, keluarga dan pengorbanan, serta membawa penonton menelusuri dilema dan konflik yang tidak dijangka dalam institusi perkahwinan.

 

Calon Isteri Buat Suami mengisahkan Haizi (lakonan Siti Hariesa), seorang wanita cekal yang memulakan hidup baharu selepas putus tunang dengan Khalif. Nasibnya berubah apabila dia secara tidak sengaja membantu Datin Yasmin dalam satu insiden kecemasan, dan ditawarkan pekerjaan di syarikat milik keluarga wanita tersebut.

 

Sebagai penghargaan, Datin Yasmin mencadangkan satu perjanjian luar biasa, Haizi perlu mengahwini anak lelakinya, Nazim (lakonan Jazmy Juma).

 

Menurut Jazmy Juma, penglibatannya dalam drama ini memberikan pengalaman berharga.

 

“Bergandingan dengan Hariesa di set memang satu pengalaman yang tak dapat dilupakan. Kami saling memberi sokongan dan berbincang untuk memastikan setiap babak disampaikan dengan sempurna. Chemistry yang kuat antara kami membuatkan setiap adegan lebih hidup dan penuh emosi. Saya berharap penonton dapat merasai keikhlasan kami dalam setiap detik perjalanan cerita ini,” ujarnya.

 

Drama 25 episod ini turut dibintangi oleh barisan pelakon berpengalaman termasuk Jasmin Hamid, Hazeeq Dean, dan Emelda Rosmila.


Penonton iQIYI VIP boleh menonton episod terkini secara ekspres pada hari yang sama, manakala tontonan percuma tersedia selepas 48 jam.

 

Untuk maklumat lanjut mengenai drama ini dan kandungan hiburan lain, orang ramai boleh mengikuti saluran media sosial rasmi TV3 di Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram melalui @TV3Malaysia serta @dramasangat.

 
 
 

Comments


bottom of page