Ernie Zakri Gegarkan Singapura dengan Konsert ‘Aura’!
- Nurul Safiah
- 6 days ago
- 1 min read

Selepas kejayaan konsert sulungnya yang sold out di Kuala Lumpur, Ernie Zakri kini bersedia menggegarkan pentas The Theatre at Mediacorp, Singapura menerusi konsert solo yang dinanti-nantikan – Aura: Ernie Zakri Live in Concert.
Dikenali sebagai The Vocal Powerhouse of Malaysia, Ernie merupakan antara penyanyi paling berbakat dan digemari di rantau ini. Dengan vokal yang memukau serta karisma pentas yang luar biasa, beliau menjanjikan satu persembahan yang tidak akan dilupakan oleh peminat di Singapura.
Konsert ini akan berlangsung pada hari Sabtu, 31 Mei 2025 di The Theatre at Mediacorp.

Jualan tiket eksklusif untuk peminat SAH Entertainment akan bermula pada Jumaat, 27 Disember 2024 jam 11 pagi (waktu Singapura), manakala jualan umum akan dibuka pada hari yang sama jam 3 petang. Tiket boleh didapati menerusi platform SISTIC.
“Buat masa ini, persiapan untuk konsert di Singapura masih belum bermula kerana saya baru sahaja selesai dengan Konsert Aura dan Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL). Jadi, fokus saya sekarang adalah untuk menjual tiket sambil mengambil masa berehat.
“Seperti yang diketahui, saya kurang sihat ketika konsert tempoh hari dan doktor telah menasihati saya supaya berehat sebelum bersiap sedia untuk konsert di Singapura pada bulan Mei nanti. Saya sangat teruja kerana saya tahu peminat di sana sentiasa memberikan sokongan yang luar biasa. Ini juga akan menjadi konsert solo pertama saya di Singapura,” ujar Ernie.
Para penonton bakal dihiburkan dengan rangkaian lagu hits Ernie seperti Masing-Masing, Ku Bersuara, Gundah, Hal Hebat dan Boneka, yang pasti membangkitkan aura magis dalam setiap persembahan.
Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri kehebatan vokal Ernie Zakri secara langsung. Konsert ini dijangka menjadi satu lagi detik gemilang dalam perjalanan seni beliau!
Comentários