top of page

Gayong: Menyatukan Aksi dan Warisan dalam Satu Naskhah



Filem Gayong, yang diinspirasikan daripada kehidupan Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR), bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 8 Mei 2025. Filem ini menampilkan Beto Kusyairy sebagai ADMAR, bersama barisan pelakon terkenal seperti Syafie Naswip, Nabila Huda, dan Yayan Ruhian. Penggambaran dijalankan di beberapa lokasi, termasuk Kuala Lumpur, Sepang, dan Tanjung Sedeli.


Pengarah Faisal Ishak menegaskan bahawa filem ini bukan sekadar tontonan aksi semata-mata, tetapi juga satu usaha untuk mengangkat warisan Melayu ke layar perak. Beliau berharap penonton bukan sahaja terhibur dengan aksi yang mendebarkan, malah dapat merasai semangat yang tersirat di sebalik setiap gerakan silat yang dipersembahkan. Faisal turut mengakui bahawa menghasilkan filem mengenai tokoh persilatan terkemuka bukanlah tugas yang mudah, kerana ia menuntut ketelitian dari segi teknikal serta memastikan keaslian dan penghormatan terhadap warisan tokoh tersebut.


Bagi memastikan keaslian setiap pergerakan dan falsafah silat, para pelakon menjalani latihan intensif di bawah bimbingan Pengarah Aksi, Yayan Ruhian, serta jurulatih berpengalaman dalam Silat Gayong. Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, turut menjelaskan bahawa mereka telah memperoleh persetujuan daripada keluarga ADMAR dan pertubuhan Silat Gayong Malaysia bagi memastikan ketulenan kisah ini. Dengan sokongan pelbagai pihak, Khairul berharap Gayong akan diterima baik oleh penonton serta mampu mengangkat legasi ADMAR ke persada yang lebih tinggi.


 
 

Kommentare


bottom of page