Huda Beauty Tawan Hati Ramai, Raikan Wanita Palestin Dengan Hadiah Istimewa Sempena Aidilfitri
- Ain Najihah
- Apr 7
- 2 min read

Jenama kosmetik antarabangsa, Huda Beauty, sekali lagi mencuri perhatian dunia apabila tampil menyentuh hati ramai dengan memberikan sumbangan barangan mekap kepada wanita Palestin sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Momen menyentuh perasaan itu dikongsikan menerusi satu hantaran video di Instagram oleh pertubuhan amal The Giving Family, pada Sabtu lalu.
Antara barangan yang disumbangkan termasuk bedak kompak, pemerah pipi, gincu, pembayang mata dan pelbagai lagi produk kecantikan pilihan.
Inisiatif ini bukan sekadar pemberian kosmetik, malah menjadi simbol kasih sayang, penghormatan dan pengiktirafan terhadap ketabahan wanita Palestin yang terus cekal mengharungi cabaran hidup yang luar biasa.
Sumbangan tersebut berjaya direalisasikan hasil kerjasama erat bersama para sukarelawan tempatan, diketuai oleh usahawan dan pengasas The Giving Family, Fadie Musallet.
Barangan solekan ini kemudiannya diagihkan kepada wanita di sekitar kawasan Masjid Al-Aqsa, simbolik kepada kekuatan dan keindahan yang terpancar dari jiwa mereka.
“Kami benar-benar tersentuh melihat reaksi mereka. Senyuman, kekuatan dan keanggunan yang terpancar pada wajah-wajah ini adalah momen yang akan kami kenang seumur hidup,” kata Fadie di ruangan kapsyen hantaran tersebut.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pengasas Huda Beauty, Huda Kattan dan pasukannya atas sokongan tidak berbelah bahagi dalam menjayakan inisiatif ini.
“Sumbangan ini bukan sekadar alat solek malah ia adalah lambang kasih sayang, penghormatan terhadap maruah wanita, dan tanda solidariti yang benar-benar menyentuh jiwa,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, Huda Kattan mahupun The Giving Family, kedua-duanya dikenali aktif dalam pelbagai bantuan kemanusiaan. Huda Kattan sendiri sering tampil bersuara memperjuangkan keadilan sosial, khususnya berkaitan isu Palestin dan pernah menyalurkan sumbangan berjumlah USD1 juta (kira-kira RM4.68 juta) kepada organisasi kemanusiaan di Gaza.
Sementara itu, The Giving Family juga tidak pernah lelah dalam menjalankan pelbagai misi bantuan, termasuk pengagihan makanan, sumbangan kewangan, dan keperluan asas kepada komuniti yang memerlukan khususnya di kawasan bergolak seperti Palestin.
Inisiatif ini membuktikan bahawa dalam dunia yang penuh cabaran, masih ada ruang untuk menyebarkan harapan, kasih sayang dan solidariti. Satu solekan istimewa yang bukan hanya pada wajah, tetapi terus meresap ke dalam hati.
Opmerkingen