Kak Rara On Air Lagi! Sharifah Shahirah Kini di Sinar FM
- Ain Najihah
- Apr 7
- 1 min read

Pelakon dan penyampai radio terkenal, Sharifah Shahirah atau lebih mesra disapa Kak Rara, melakar babak baharu dalam perjalanan kariernya apabila secara rasmi menyertai stesen radio Sinar bermula Isnin lalu.
Shiera yang sebelum ini mengambil alih slot pagi di Era FM susulan kontroversi melibatkan trio penyampai Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin, diberi kepercayaan mengendalikan segmen petang di Sinar FM.
Beliau bergandingan bersama dua lagi penyampai popular, Hefny dan Falyq dalam slot yang dijangka memberi nafas segar kepada pendengar setia stesen tersebut.
Menerusi perkongsian di media sosial, Shiera meluahkan rasa teruja dan bersyukur atas peluang baharu yang diterimanya, sambil memohon doa agar segala urusan dipermudahkan.
“Alhamdulillah… satu lagi perjalanan bermula. Moga yang baik-baik menyusul,” tulisnya ringkas tetapi penuh makna.
Perkhabaran tersebut turut mendapat sambutan hangat daripada para peminat yang membanjiri ruangan komen dengan ucapan tahniah serta sokongan terhadap gandingan baharu yang dinanti-nantikan.
Sebagai info, Shiera bukanlah nama asing dalam dunia penyiaran radio. Beliau pernah mencipta fenomena tersendiri ketika bersama Suria FM selama tujuh tahun sebelum mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak pada Februari lalu.
Langkah Shiera menyertai Sinar FM dilihat sebagai satu perkembangan positif dan membuktikan kredibilitinya yang masih utuh dalam industri hiburan tanah air.
Comments