top of page

‘Mantera’ Angkat Tradisi Mistik Kaum Dusun

  • Writer: Nurul Safiah
    Nurul Safiah
  • 7 days ago
  • 2 min read


Seram, mistik dan tradisi kuno! Itu gabungan yang dibawakan dalam filem Mantera, naskhah baharu arahan Chester Pang yang bakal menghantui pawagam bermula 24 April ini.

 

Filem seram tempatan bertajuk Mantera bakal menemui penonton di pawagam April ini dengan mengetengahkan amalan tradisi kuno kaum Dusun di Sabah yang semakin dilupakan iaitu ritual ‘Bobolian’.

 

Diterbitkan oleh Pro Merge Vision Sdn. Bhd., Mantera bukan sekadar filem seram biasa, sebaliknya mengangkat budaya mistik masyarakat Dusun yang jarang dipaparkan di layar perak.

 

“Boleh dikatakan tidak ramai mengetahui tentang tradisi lama amalan ritual yang dilakukan oleh ‘Bobolian’ sebagai ketua adat serta menjadi perantara dan pengimbang antara dua alam iaitu alam nyata (manusia) dan ‘kinohiringan’ (dewa).
“Jadi, saya merasakan kisah mengenai Bobolian atau bomoh kaum Dusun ini agak menarik untuk diangkat menjadi sebuah filem,” ujarnya.

 

Filem ini menampilkan gabungan pelakon berpengalaman seperti Syafie Naswip dan Namron, bersama barisan pelakon kelahiran Sabah iaitu Jovenia Jim, Wedylin Batala dan Larry Noh.


Mengisahkan Tana, seorang wanita muda yang mewarisi kebolehan spiritual daripada nenek moyangnya yang merupakan seorang Bobolian, cerita berkembang apabila roh jahat dikenali sebagai Rogon Lupiah mula mengganggu hidupnya. Dibantu oleh Inspektor Zafri, seorang pegawai polis dengan sejarah hitam, mereka berdua berdepan cabaran besar dalam menyelesaikan kes pembunuhan yang dikaitkan dengan ritual lama tersebut.

 

Sepanjang penggambaran yang dijalankan pada Februari 2024 di beberapa lokasi di Sabah seperti Tambunan, Apin-Apin dan Kota Belud, beberapa kejadian aneh turut berlaku, termasuk insiden kerasukan dan kru terjatuh ke dalam gaung.

 

“Ketika babak memanggil roh di sebuah balai raya apabila pelakon utama wanita
dan seorang pelakon pembantu wanita telah dirasuk, namum berjaya dikawal oleh seorang guru silat yang secara kebetulan berada di lokasi penggambaran.
“Insiden yang kedua pula apabila seorang kru telah terjatuh ke dalam gaung dan mendakwa dirinya seperti ditarik sesuatu. Malah, insiden berkenaan turut disaksikan Syafie Naswip dan Namron,” dedah Chester.


Walaupun berdepan cabaran luar jangka, pengarah itu tetap optimis dan berharap Mantera akan mendapat sambutan hangat daripada penonton tempatan.

 

“Filem ini bukan sahaja menyeramkan, tetapi ia turut membawa nilai budaya dan sejarah yang berharga. Saya harap Mantera dapat membuka mata ramai tentang keunikan tradisi kaum Dusun,” katanya.

 

Jangan lepaskan peluang menyaksikan Mantera, naskhah seram mistik penuh misteri dan budaya di pawagam mulai 24 April 2025!


Comments


bottom of page