top of page

Megat Sharizal Hadir dengan Mencari Ramlee, Filem Mengenang Seniman Agung



Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, nama yang tidak asing lagi dalam dunia seni Malaysia, terus menjadi inspirasi walaupun sudah 51 tahun meninggalkan kita. Bagi mengenang jasa serta warisannya, pengarah Megat Sharizal mempersembahkan filem sulungnya, Mencari Ramlee, yang akan ditayangkan di seluruh pawagam Malaysia mulai 19 Jun 2025.



Mencari Ramlee yang berlatarkan tahun 1973, sehari selepas kematian P. Ramlee. Ia mengisahkan tentang Zakaria, seorang lelaki yang meniru gaya P. Ramlee tetapi menghadapi masalah kewangan bersama adiknya Yasmin.


Namun, dia terpaksa berhutang dengan seorang gangster bernama Yusuf. Ketika dibawa ke rumah Yusuf untuk melunaskan hutangnya, Zakaria bertemu dengan Zaiton, kakak Yusuf yang mengalami amnesia dan masih percaya bahawa dia hidup dalam era 1950 an. Melihat peluang ini, Yusuf meminta Zakaria berpura-pura menjadi P. Ramlee untuk menggembirakan kakaknya.



Filem ini menampilkan Tony Eusoff sebagai Zakaria, Sofia Jane sebagai Zaiton, Mimi Lana sebagai Yasmin dan Megat Sharizal sendiri sebagai Yusuf. Ia turut dimeriahkan lagi oleh barisan bintang terkenal seperti Azhan Rani, Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Bront Palarae, Sharifah Amani, Han Zalini, Abi Madyan serta Najua P. Ramlee, cucu kepada Seniman Agung tersebut. Muzik filem ini turut mendapat sentuhan istimewa daripada kumpulan Pitahati.


Filem ini diterbitkan oleh Playground Film Sdn Bhd dengan sokongan Dana Kandungan Digital (DKD) daripada FINAS, Mencari Ramlee juga menjadi pilihan rasmi di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam (IFFR). D'Ayu Pictures bertindak sebagai pengedar dan pasukan pemasaran untuk memastikan filem ini mendapat sambutan dalam dan luar negara.



Megat Sharizal berharap filem ini bukan sahaja menghidupkan semula kenangan terhadap P. Ramlee tetapi juga menarik minat generasi muda untuk mengenali karya-karya seniman legenda ini.


“Saya berharap filem ini akan menimbulkan rasa ingin tahu mereka sekaligus menimbulkan penghargaan terhadap filem-filem lama dan mengenang jasa seniman kita terhadap dunia seni,” katanya.


Buat anda yang meminati Tan Sri P. Ramlee jangan  lepaskan peluang untuk menyaksikan Mencari Ramlee di pawagam bermula 19 Jun 2025 dan hayati keindahan seni yang ditinggalkan oleh legenda industri perfileman Malaysia!

 
 

Commentaires


bottom of page