top of page

Merdeka 118 Jadi Lokasi Ikonik Aksi Florence Pugh dalam Thunderbolts!

  • Writer: ain najihah
    ain najihah
  • 2 days ago
  • 1 min read


Pada tahun lalu, peminat di Malaysia meluahkan rasa teruja apabila tersebar berita bahawa pelakon terkenal dari England, Florence Pugh, telah menjalani penggambaran adegan terjun udara dari puncak Merdeka 118 untuk filem Marvel yang akan datang, Thunderbolts.


Kini, penonton berpeluang menyaksikan sendiri detik-detik mencemaskan di sebalik tabir penggambaran tersebut.


Pada hari Jumaat, 4 April, Marvel Studios telah mengeluarkan  paparan eksklusif yang menampilkan aksi-aksi mendebarkan daripada filem Thunderbolts, termasuk klip Florence Pugh bersiap sedia untuk melakukan terjunan dari bangunan kedua tertinggi di dunia yang berketinggian 678.9 meter.



Adegan yang mendebarkan itu kemudian memaparkan kru produksi membuat kiraan detik sebelum Pugh menarik nafas panjang dan melangkah keluar dari tepi bangunan, menjunam laju dari ketinggian yang mencemaskan sebelum menarik payung terjunnya.


Walaupun terjun dari bangunan kedua tertinggi di dunia, pelakon yang membawakan watak utama Yelena Belova itu kelihatan tenang dan yakin sewaktu meluncur turun ke bawah.


Menariknya, Merdeka 118 bukan satu-satunya lokasi ikonik di Kuala Lumpur yang ditampilkan dalam filem Thunderbolts. Dalam satu adegan lain, watak Yelena turut kelihatan berjalan di sekitar kawasan bersejarah Medan Pasar.


Tayangan babak-babak ini telah mencetuskan rasa bangga dan teruja dalam kalangan rakyat Malaysia. Ramai yang menyambut baik pemilihan negara mereka sebagai lokasi penggambaran filem Hollywood berskala besar.


Filem Thunderbolts, yang dijadualkan menemui penonton pada 2 Mei, mengisahkan tentang sekumpulan anti-wira yang menjalankan misi rahsia untuk kerajaan Amerika Syarikat. Filem ini turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat seperti Sebastian Stan, David Harbour dan Geraldine Viswanathan.

 
 
 

Comments


bottom of page