
Kumpulan Prasangka, yang dianggotai oleh penyanyi utama Ajis Hisham bersama Matt, kini mempersembahkan lagu raya Nun Jauh Di Sana 21 Mac lalu.
Lagu yang penuh emosi ini diinspirasikan oleh pengalaman getir semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun pertama pandemik COVID-19, ketika rakyat Malaysia hanya dibenarkan meraikan Aidilfitri selama sehari sahaja.
Menurut Ajis Hisham, pencipta sepenuhnya lagu ini, karya tersebut lahir daripada kerinduan mendalam terhadap keluarga, kampung halaman, dan bahkan Sang Pencipta, di tengah-tengah suasana yang penuh tekanan ketika pandemik melanda.
“Lagu ini berkisar tentang rindu dalam pelbagai bentuk. Terserahlah kepada pendengar untuk menghayatinya mengikut pengalaman dan perasaan mereka sendiri,” ujar Ajis.

Proses rakaman Nun Jauh Di Sana bermula pada tahun 2021 dan mengalami beberapa kali penangguhan akibat pelbagai versi PKP. Akhirnya, selepas menempuh pelbagai cabaran, rakaman lagu ini berjaya disiapkan pada awal tahun 2024.
Proses rakaman dijalankan di Studio Dapo Rekod, Senawang, Negeri Sembilan, manakala proses adunan dan mastering dipimpin oleh Areef Iskandar.
Konsep lagu ini memancarkan aura nostalgia era lagu raya tahun 80-an, mengimbau kembali kehangatan dan kemeriahan tradisi perayaan yang sering dirindui oleh generasi lama.
"Kami masih tidak boleh 'move on' dengan suasana lagu-lagu raya lama, jadi kami ingin menghidupkan kembali kehangatan dan kemeriahannya melalui Nun Jauh Di Sana," tambah Ajis.
Prasangka berharap lagu Nun Jauh Di Sana akan diterima baik oleh peminat muzik tanah air, khususnya golongan generasi muda, dan mampu menyemarakkan semangat raya di kalangan pendengar dan media radio.
Jangan lupa dengarkan lagu ini yang akan diedarkan secara digital oleh Luncai Emas di seluruh pelantar digital.
Comments