top of page

“Raya Emas - Salako Sacred Treasure” Paparkan Keunikan Tradisi Salako dan Keindahan Sarawak


Tayangan perdana filem Raya Emas - Salako Sacred Treasure mencipta kejayaan besar apabila ia bukan sahaja memukau penonton dengan visual yang mengagumkan, tetapi juga menonjolkan keindahan budaya dan warisan masyarakat Salako di Sarawak.


Filem yang menjalani penggambaran sebanyak 80% di Lundu, Sarawak ini turut mempersembahkan bakat tempatan, dengan 90% daripada barisan pelakonnya berasal dari negeri tersebut.


Tayangan perdana yang berlangsung pada 24 Mac turut dihadiri oleh barisan pelakon utama seperti Winson Voon, Dunstun Luther Junior, Nina KSC, dan Marc Benjamin, serta tetamu khas, termasuk Timbalan Pengerusi FINAS, Noor Azam Shair.


Menurut Penerbit Eksekutif filem ini, Winson Voon, Raya Emas - Salako Sacred Treasure bukan sekadar sebuah filem fiksyen, tetapi satu usaha untuk memperkenalkan keindahan sinematik dan tradisi masyarakat Salako kepada penonton global.


**“Saya ingin menyatakan penghargaan yang mendalam terhadap sokongan pihak Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, yang memainkan peranan penting dalam merealisasikan projek ini.


“Malah, pihak kementerian turut menekankan potensi filem ini dalam menarik pelancong antarabangsa dengan mempamerkan keunikan Sarawak kepada tontonan global,”** ujarnya.


Dengan keunikan jalan cerita dan latar belakang budaya yang autentik, Raya Emas - Salako Sacred Treasure dijangka memberi impak besar dalam industri filem tempatan dan antarabangsa.


“Dengan menyokong filem seperti ini, kita bersama-sama melabur dalam masa depan pelancongan Sarawak serta memupuk pertumbuhan ekonomi negeri ini. Filem ini bertujuan meletakkan Sarawak sebagai destinasi utama untuk penggambaran filem serta lokasi wajib dikunjungi oleh pelancong dari seluruh dunia,” tambah Winson.


Filem ini mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, diterbit dan dipersembahkan oleh Tinytune Production, dengan terbitan bersama Filmmaker Studio dan Sky Picture, serta produksi daripada Filmforce Studio.


Raya Emas - Salako Sacred Treasure bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 3 April. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan keajaiban sinematik yang mengangkat warisan Sarawak ke layar perak!



 
 

Comments


bottom of page