top of page

Rindu Keluang Man? Watak ikonik ini akan gegarkan dunia teater!

  • Writer: Ain Najihah
    Ain Najihah
  • 3 days ago
  • 2 min read


Keluang Man kembali mencuri perhatian! Buat pertama kalinya, watak adiwira kegemaran ramai ini akan beraksi secara langsung di pentas teater, mengimbau nostalgia zaman kanak-kanak. Pementasan ini adalah hasil kerjasama strategik antara Kelab Keluang Man, Sedar Ruang Studio, dan Galeri Kamn Ismail.


Watak Keluang Man yang sinonim dengan dunia animasi tempatan sekitar tahun 90-an ini pernah menjadi fenomena dan kekal sebagai simbol kebanggaan industri animasi Malaysia. Kini, setelah lebih dua dekad inisiatif untuk menghidupkan kembali legasi ini dalam bentuk teater dijangka akan mengubat rindu para peminat.


Kelab Keluang Man yang diasaskan oleh pencipta asal watak ini, Allahyarham Haji Kamarudin Ismail atau lebih dikenali sebagai Kamn Ismail telah aktif dalam pelbagai aktiviti seni dan sosial sejak 1997 dan secara rasmi berdaftar pada 2021. Kelab ini terus giat mempromosikan nilai seni, budaya dan semangat adiwira yang ditinggalkan oleh Kamn Ismail.


Menurut Amir Hamzah, Pengerusi Kelab Keluang Man, kelab ini bukan sahaja menjadi platform penyatuan bekas karyawan animasi dan peminat malah giat menganjurkan pelbagai aktiviti seperti pameran seni, bengkel animasi, pertandingan melukis dan pengumpulan hasil karya tempatan.


“Maskot Keluang Man dan Tiong Man menjadi tumpuan di semua program kami. Kami mahu warisan ini terus segar dan dikenali hingga ke generasi akan datang,” ujar Amir penuh semangat.


Sementara itu, Muhamad Firdaus Omar, Setiausaha Kelab Keluang Man, menekankan bahawa pementasan teater ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dalam aspek pengurusan dan persembahan, sebagai satu bentuk pembelajaran praktikal. Tambah beliau, kerjasama ini juga bertujuan menggalakkan sokongan kepada filem Keluang Man terbitan Astro Shaw yang akan ditayangkan bermula 29 Mei 2025.


Pengarah Galeri Kamn Ismail, Dalila Haji Kamarudin, yang juga anak kepada Allahyarham Kamn Ismail menyatakan bahawa teater ini adalah adaptasi naskah asal yang tidak pernah ditayangkan dalam bentuk animasi. Ia bakal menyajikan elemen baharu yang segar kepada peminat dan pelapis industri.


“Walaupun produksi ini berskala kecil dan bersifat indie, ia adalah permulaan yang bermakna untuk memperluas jenama Keluang Man ke platform berbeza seperti pentas teater,” jelas Dalila.


Galeri Kamn Ismail kini bertanggungjawab menjaga segala hak harta intelek serta legasi karya Allahyarham Kamn Ismail termasuk skrip, lukisan, siri animasi, komik, serta anugerah yang pernah diraih. Galeri ini bersama Quest Animation Studio, yang diuruskan oleh Dalila dan suaminya Muhamad Firdaus, terus mengangkat martabat seni animasi tempatan.


Usaha murni ini bukan sekadar membawa nostalgia, tetapi juga menjadi simbol penghargaan kepada seni, semangat kolaboratif dan kecintaan terhadap karya tempatan yang berkualiti tinggi.


Pementasan Teater Keluang Man bakal berlangsung di Studio Sedar Ruang dari 24 hingga 26 April pada jam 8.30 malam. Manakala pada 27 April, ia akan dipentaskan dua kali, iaitu pada jam 3.00 petang dan 8.30 malam.


Teater ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Han Zalini, Cristina Suzanne, Jay Iswazir, dan Azman Hassan, serta diarahkan oleh pengarah berbakat Walid Ali.


Tiket dijual pada harga RM48 dan RM58 (free seating) dan boleh didapati bermula hari ini melalui laman web rasmi cloudjoi.com.


Σχόλια


bottom of page