top of page

Saccharine - perlukah butang reset?

Ulasan oleh Azrin Fauzi


Rumusan: 'Saccharine' adalah teater terbaru dalam Bahasa Melayu oleh The Actors Studio, diarahkan oleh Chris Ling. Pementasan teater ini berlangsung dari 16 hingga 19 Mei 2024 di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac).


Aidil Rosli sebagai Fikri dan SaifulWazien sebagai ayah. FOTO: Goh Bong Hiang. 


MENDEPANI Saccharine membuatkan kita tidak lepas daripada dihidangkan untuk meneguk — atau sekurang-kurangnya mencicip, sekadar merasa — dua obsesi. Obsesi-obsesi yang digelegak oleh dua figura ayah-anak: robot replika si ayah (lakonan SaifulWazien) dengan obsesi kerja seninya membuat boneka manakala si anak, Fikri (Aidil Rosli) pula dengan obsesi kerja saintifiknya menghasilkan — atau ‘menghidupkan’ — semula arwah ayahnya menerusi kecerdasan buatan (A.I.). Dan dua obsesi ini diikat dengan kenangan dan kebenaran. Yang berulang-ulang. 


Yang diulang-ulang. 


Pengulangan dan pengulangan, sesi demi sesi dimainkan untuk si anak — dan juga kita — memahami ayahnya: mengapa meninggalkan dia dan ibunya? Mengapa lari untuk menyendiri, menyepi? Pengulangan atau repetisi ini berkesan pada awalnya terutama dalam membentuk gerak kerja kedua-dua watak ini: pengulangan dalam kerja seni menjadi seolah-olah ritual yang memahirkan pengkarya untuk mencipta karya yang sempurna manakala pengulangan dalam kerja saintifik pula menjadi seakan-akan kaedah cuba-cuba (trial and error) dalam setiap uji kaji yang sudah tentulah ada jaya dan gagalnya. Tetapi sejauh mana repetisi ini mampu menggerakkan kisah mereka, membawa kita selaku audiens untuk turut sama merasa (pahit-)manisnya (jika ada)? 

Aidil Rosli sebagai Fikri yang sentiasa menyediakan kopi buat ayahnya di awal setiap sesi. FOTO: Goh Bong Hiang.


Saccharine merupakan tulisan ketiga Arsyad Azrai yang ditangani oleh Christopher Ling, sesudah Moonlight dan Salt. Teater yang dibawakan oleh The Actors Studio Foundation ini telah berlangsung di indicine, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) dari 16 hingga 19 Mei 2024 yang lalu; menjadi “buka pintu” kepada musim Kembali Ke Pangkuan sebagai penghormatan buat Ling atas hubungan selama 35 tahunnya dengan The Actors Studio dan para pengasasnya, Joe Hasham OAM dan Dato’ Dr. Faridah Merican. Pementasan ini turut dibangunkan sinografi rekaan Shahrul Skye untuk dinafasi oleh watak-wataknya; juga dialami oleh kita. 


Sebelum pementasan bermula lagi kita sudah dihadapkan dengan set yang mempunyai dua ruang: ruang makmal si anak yang kemas lagi teratur dengan mesin pembuat kopi, cawan, dan balang berisi sakarin; serta ruang bengkel si ayah yang berselerak dengan boneka, alatan menukang, dan lakaran. Kedua-dua ruang inilah yang akan menjadi tempat pengulangan-pengulangan diaksikan yang bukan sahaja untuk si anak mengulang-ulang memori tentang ayahnya (yang menyentuh hubungan sesama watak di dalam sesebuah karya atau teks) malah sedang menguji ingatan kita tentang teks Saccharine itu sendiri (hubungan audiens dengan teater yang didepaninya, dialaminya) sehingga satu persatu ingatan kita daripada sesi-sesi sebelum yang sedang timbul itu dikacau dan dikocak: kopi yang sering diberi kepada ayahnya di awal setiap sesi tiba-tiba terasa manis; pisau yang akan terjatuh dalam tiap-tiap sesi tidak semena-mena melukakan tangan ayahnya; berbalas salam sewaktu berpisah di penghujung sesi-sesi awal sebaik sahaja masuk waktu solat Isyak sudah tidak lagi berlaku dalam sesi-sesi seterusnya; dan beberapa insiden tak terjangka lain yang akan mengganggu ingatan kita. 


Sehinggakan repetisi dan “gangguan” kepada ingatan ini menjadi suatu yang melelahkan.

Aidil Rosli sebagai Fikri dan SaifulWazien sebagai ayah. FOTO: Goh Bong Hiang. 


Barangkali struktur teks yang semahu-mahunya dibina dan dijaga ini perlahan-lahan membingkai dan memenjara, semakin tidak mempedulikan dua wataknya — yang sedang memanusia. Ruang kecil indicine di klpac yang berpotensi untuk mengintimkan kita dengan rasa dan fikir watak-wataknya menjadi kontang. Perbualan yang berdegar-degar seputar hal falsafah antara mereka berdua — yang sepatutnya diberi rasa hangat dan dekat —terasa begitu dingin dan tak tergapai oleh kita. Terlalu dipaksa-paksa untuk bercerita (tell; dengan memberitahu bahawa “dunia” ayahnya hanyalah simulasi, antaranya) sedangkan telah ditunjukkan (show) momen-momen kerosakan rawak atau sementara (glitch) dalam beberapa adegan. Malah peranan A.I. menerusi robot replika ayah ciptaan si anak juga tidak diteroka, apatah lagi memaknakan keseluruhan teks. Watak robot replika si ayah kekal ‘terperangkap’ (atau diperangkap?) di dalam ruang bengkel membuat bonekanya sehingga ke penghujung teater. Sekali pun tidak berpeluang (atau diberi peluang) untuk lepas ke ruang makmal si anak — mencipta kemungkinan-kemungkinan tegang yang lain. Teater berdurasi 90 minit yang ditangani oleh hanya dua pelakon ini (two-hander) menjadi tidak seimbang. Dan jika ada satu watak lagi yang amat berpotensi untuk ‘dimunculkan’ (dengan imaginasi audiens masing-masing) daripada perkongsian serpihan memori demi memori si anak dan si ayah dalam setiap sesi, sehinggakan dapat kita ‘nampak’ (dengan imaginasi kita sendiri) jiwa dan raganya, tidak lain tidak bukan ialah watak si ibu — watak yang berkali-kali membancuh kopi. 


You do know that’s not real sugar? It’s not good for you. It will never replace the real thing,” kata Fikri kepada ayahnya sejurus selepas robot replika itu menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap kopi yang baru dihirupnya itu — kurang manis. Kata saccharine boleh jadi sentimental atau terlalu manis yang mampu dilenturkan bunyinya secara berseni (untuk menyentuh emosi atau rasa) atau juga pemanis tiruan yang kedengaran saintifik (untuk menjentik intelek atau fikir). Dalam Saccharine, pengulangan yang diregang berkali-kali sehingga ke penamat adakalanya “tidak kena” dengan rasa dan fikir watak-wataknya. Mungkinlah disebabkan ingin dilihat “hidup”, mereka berdua ini juga tidak — atau belum lagi — sempurna. Dengan sengaja tidak — atau belum — disempurnakan. Seperti apa yang dikata sendiri oleh si anak: “Patung ni nampak hidup because it’s not perfect, ayah.” 

Obsesi si anak (Aidil Rosli) untuk memahami robot replika ayah (SaifulWazien) ciptaannya yang obses membuat boneka. FOTO: Goh Bong Hiang.



Pada detik kita menghela nafas lega di penghujung pementasan, A.I. di dunia nyata yang kita nafasi ini semakin sempurna meniru kita — menjadi (lebih baik daripada) kita. Malah sedang menggantikan kita. Lantas meninggalkan saya dengan tanda tanya: Haruskah kita bermusuh dengannya? Saccharine cuba bermain dengan persoalan ini — tetapi tidaklah sehingga mencabar alami A.I. itu sendiri — dengan menjadikan watak robot replika si ayah yang bukannya ancaman, selain meletakkan A.I. di hujung telunjuk manusia; perbualan Fikri dengan ayahnya sering sahaja berlaku seperti soal siasat untuk si anak itu meraih maklumat (bagaimana jikalau interogasi ini dilakukan dengan A.I. sebenar menerusi prompt oleh si anak dalam pementasan yang sedang berlangsung?); dan segala keadaan hilang kawalan si ayah akan segera diselesaikan dengan semudah-mudah menekan butang “Reset”. 

“Reset” yang diulang-ulang. 


Tetapi kebenaran yang diinginkan bukanlah pendedahan yang benar-benar mengejutkan kita: si ayah sebenarnya masih menyimpan boneka yang dibuat oleh Fikri sewaktu dia masih kecil dahulu walaupun dilarang berkali-kali olehnya. Konflik seni lawan sains dan anak-anak yang terpaksa meredah jalan sains dek ditegah oleh ibu bapanya daripada bergelumang dengan seni merupakan bekas bayangan Mahathirisme yang tidak perlulah dipanjanglebarkan dalam tulisan ini. (Atau inilah memori untuk kita berdamai dengannya?) Dengan simulasi yang berulang-ulang diberitahu oleh si anak kepada ayahnya dan juga kita, Saccharine sebenarnya berpotensi untuk mempertanya kembali kebenaran dunia nyata kita yang sedang menonton pementasan ini dengan tanggapan “dunia” si anak dan ayahnya dalam teater. 

Konfrontasi si anak (Aidil Rosli) dengan robot replika ayah (SaifulWazien) ciptaannya. FOTO: Goh Bong Hiang.


Tidak kita pasti apalah rasa yang dikecap tatkala si anak mendakap tubuh tua si ayah yang diciptanya, diada-adakannya setelah menerima “kebenaran” yang didamba. Sehingga mengalirkan air mata. Rasa dan fikirnya begitu artifisial. Seperti kopi yang dibancuh berulang kali, lagi dan lagi oleh si anak, Saccharine terasa kurang manisnya. Kurang cukup nikmatnya. Kalaulah boleh ditekan butang “Reset” atas pengalaman ini. Kalaulah. 

 

Mengenai Penulis:


0 comments

Opmerkingen


bottom of page