Ulasan oleh Azrin Fauzi
Rumusan: 'Say Sayang!' adalah teater terbaru dalam Bahasa Melayu oleh BilBerkarya Production, ditulis oleh Saat Omar dan diarahkan oleh Sis Aini. Pementasan teater ini berlangsung dari 22 hingga 23 Jun 2024 di Damansara Performing Arts Centre (DPAC).
Sis Aini sebagai Amin, pelawak-pengarah yang sedang mempersembahkan jenaka komedirinya. FOTO: Faru Media
Pada awal pementasan lagi, teater Say Sayang! dibuka dengan jenaka hambar komediri (stand-up comedy) berlingkar persoalan-persoalan perkahwinan yang sudah kita dengar berkali-kali: desakan ibu bapa dan masyarakat untuk pasangan ke jinjang pelamin; cuitan untuk punyai anak buat pasangan yang sudah berkahwin; perkahwinan sebagai puncak kejayaan dalam hidup buat sesiapa pun; dan lain-lain.
Sebelum hambar persembahan komediri oleh pelawak-pengarah, Amin (lakonan Sis Aini) ini dipecahkan kepada dua ruang dimensi: bukan semata-mata dua ruang kiri-kanan yang disorot lampu di mana pelawak-pengarah tadi berbual akan hal perkahwinan dengan salah seorang krunya, Lokman (Ron Isa) dan isteri pelawak-pengarah, Juana (Qiu Qatina) pula berkongsi akan hal rumah tangganya dengan salah seorang kru, Cumi (Ain Yasmin) di sebelah lagi satu malah turut menyerlahkan ruang dimensi yang mengaburkan batas performans dengan apa-apa yang di belakang tabir. Perbualan dan perkongsian di kedua-dua belah ruang ini mulai memikat kerana bukan sahaja berbalas-balas antara gender (Amin-Lokman di sebelah kanan pentas manakala Juana-Cumi di sebelah kiri pentas) malah menimbal balik antara yang sudah berkahwin sebagai orang yang sudah banyak makan garam (Amin dan Juana) dengan yang ingin bercinta (Lokman dan Cumi)—dimensi demi dimensi terbuka.
Dan terus dibuka bilamana pasangan Amin-Juana melangkah ke atas set yang sedang perlahan-lahan berputar bagi menyediakan ruang yang lain; menapak masuk ke dalam ruang tamu rumah mereka sendiri. Sinogafi rekaan Shahrul Skye kali ini benar-benar memberikan ruang ‘hidup’ untuk pasangan ini berganjak masuk—untuk ‘hidup’ di dalamnya—daripada ruang masa kini (daripada perbualan dan perkongsian tadi) kepada ruang masa lalu (berdasarkan memori mereka berdua). Ingatan masing-masing yang membawa kepada dinginnya rumah tangga mereka kini. Dingin yang kadangkala mendesak mereka untuk pecahkan dinding keempat bagi meluahkan terus isi hati masing-masing kepada kita.
Qiu Qatina sebagai Juana dan Sis Aini sebagai Amin, pasangan suami-isteri yang ingin mempertahan perkahwinan. FOTO: Faru Media.
Say Sayang! merupakan tulisan Saat Omar pertama yang saya tonton. Teater yang dibawakan oleh BilBerkarya Production ini telah diarahkan oleh Sis Aini (yang turut melakonkan watak pelawak-pengarah, Amin) dan telah berlangsung di Blackbox, Damansara Performing Arts Centre (DPAC) dari 22 hingga 23 Jun 2024 yang lalu. Kerana telah membaca beberapa novel tulisan Saat Omar (ya, dramatis ini juga seorang novelis) sebelum ini, jangkaan-jangkaan saya berkenaan dengan jenaka yang akan menyantaikan hal-hal berat dengan bersahaja tidak meleset sama sekali malahan terserlah dalam teater ini.
“Lepas tu, inai dekat jari pun perlahan-lahan hilang, dan kau lupa yang kau pernah melalui sebuah perkahwinan.”
Adegan-adegan “memori” yang dilakonkan semula oleh kedua-dua pasangan ini di atas set yang berputar—yang terus terang hendak dikata, tidaklah secantik dan senyata mana, nampak rapuh (flimsy) tetapi masih berfungsi dan berbalik kepada keadaan rumah tangga mereka ini dan alami memori itu sendiri yang sedang dibangunkan dan direka-reka—turut memutar dan mengembalikan ingatan kita selaku audiens kepada komedi situasi (sitcom) atau siri komedi televisyen dengan menampilkan sekumpulan watak yang sama dalam setiap episod (dalam teater ini, setiap babak menjadi semacam “episod”); dengan tema dan jalan cerita yang berkisar pada kisah kehidupan sehari-hari (dalam teater ini, perkahwinan yang sudah dinginlah temanya dengan segala ragam dan perangai pasangan ini menempuh kehidupan rumah tangga sebegini, juga usaha mereka berdua untuk saling memahami); dengan sela-sela jenakanya (terutamanya komedi loklak atau slapstick yang diaksikan oleh Sis Aini dan Ron Isa, juga aksi yang agak mengada-ada oleh Cik Kiah Glam lakonan Juwita dan dialog-dialog yang menggeletek hati oleh Azlan lakonan Danny Emirul).
Qiu Qatina sebagai Juana dan Juwita sebagai Cik Kiah Glam, teman rapat yang diundang untuk menyelamatkan perkahwinan pasangan Juana-Amin. FOTO: Faru Media
Set berputar ini berfungsi lagi pada peralihan babak tatkala Amin melangkah keluar daripada ruang tamu sambil diiringi lagu-lagu jiwang yang disangkakan sekadar menjadi muzik latar (atau bunyi bukan diegetik yang hanya didengar oleh kita selaku audiens) buat si suami yang baru sahaja ingin mengambil waktu-waktu “rehat” daripada perkahwinan, sebaliknya perlahan-lahan menjadi bunyi diegetik yang didengar dan dialami olehnya bilamana set ini perlahan-lahan mendedahkan sebuah ruang bilik karaoke. Lagu-lagu jiwang ini sebenarnya sedang dinyanyikan oleh teman rapatnya, Azlan!
Sis Aini sebagai Amin dan Danny Emirul sebagai Azlan, teman rapat yang hadir untuk menghibur dan menenangkan Amin dalam waktu-waktu “rehat” dia daripada perkahwinan. FOTO: Faru Media.
Dalam dingin pasangan suami-isteri ini, hangatnya bukan cinta. Hangatnya daripada jenaka-jenaka. Kita merasai serasinya mereka (kita mempercayai lakonan Sis Aini dan Qiu Qatina sebagai suami-isteri, meyakinkan) tetapi adakalanya kedua-dua Amin dan Juana ‘ditenggelamkan’ oleh watak Cik Kiah Glam dan Azlan sebagai teman-teman atau orang luar yang dipaut untuk menyelamatkan perkahwinan mereka. Aksi mengada-ada Cik Kiah Glam berimbang—mujurlah!—dengan rintihannya sebagai seorang janda. Dialog-dialog menggeletek hati oleh Azlan pula memberat dengan pengakuannya sebagai seorang yang sudah lama hidup membujang. Kedua-duanya meluah apa-apa yang dipendam. Adakah watak-watak “orang luar” ini yang kadangkala ‘masuk’ ke dalam ruang “rumah tangga” yang berputar untuk memaknakan cinta sebagai sesudah (menerusi Cik Kiah Glam) dan sebelum (menerusi Azlan) Cinta?
“Hidup serba kekurangan juga, tapi happy.”
Dan watak-watak sampingan seperti Lokman dan Cumi, secara harfiahnya, langsung dikesampingkan di penghujung pementasan. Sedangkan kedua-dua watak yang ingin bercinta ini telah membuka teater ini sedari awal lagi menerusi perbualan dengan Amin, perkongsian dengan Juana. Cinta yang didamba oleh mereka tidak disimpulkan dalam Say Sayang!. Sayang… tetapi memikat bilamana mereka berdua, bersama dengan teman-teman kru yang lain seperti Shah Irwan dan Jalilah (kedua-duanya ialah penolong pengurus produksi untuk teater Say Sayang! ini), ‘masuk’ ke dalam set atau ruang “rumah tangga” ini untuk memahami cinta—untuk bercinta. Terasa bibit-bibit yang menumbuhkan cinta sebelum Lokman dan Cumi ‘keluar’ daripada ruang ini untuk kembali kepada ruang “belakang tabir” atau produksi mereka. Di ruang ini, cinta mereka yang sedang menjadi tidak dijadikan, tidak disimpulmatikan.
Ain Yasmin sebagai Cumi dan Ron Isa sebagai Lokman, masing-masing bersama dengan para penolong pengurus produksi, Jalilah dan Shah Irwan di dalam set “rumah tangga” pasangan Amin-Juana. FOTO: Faru Media.
Kerana kita akan—atau ingin dibawa untuk—kembali kepada watak-watak utamanya: pasangan Amin-Juana. Intimnya terasa. Benar-benar terasa. Begitu serasinya mereka berdua. Tetapi dominannya masih memberat kepada si suami. Ada lapisan-lapisan lain seorang isteri yang tidak habis disingkap apatah lagi diteroka. Dingin rumah tangga setakat si suami sudah kurang berikan perhatiannya kepada si isteri dek gemar menonton televisyen. Barangkali itulah jenakanya. Sehinggakan Cik Kiah Glam sendiri duduk bersama-sama kita sebagai audiens yang menonton persembahan komediri si suami. Sehinggakan janda yang mengada-ada ini juga membongkarkan yang selama ini si isteri turut menjadi salah seorang audiens yang menonton lantas terguris dengan si suami yang sering menjadikan kisah rumah tangga mereka sebagai bahan jenaka.
Sehinggakan apabila watak “orang luar” ini mengatakan bahawa kita semua tidak pernah terhibur pun dengan jenaka hambar komediri atau, meminjam kata-kata Juwita selaku pelakonnya sendiri, “lawak sangkak” si suami, saya tertawa.
Betul-betul ketawa.
Mengenai Penulis:
Коментарі