
Dua kumpulan legenda industri muzik Malaysia, Slam dan Exists, bakal bersatu dalam konsert mega Slam X Exists – Our Journey yang akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 26 Julai 2025.
Dianjurkan oleh SS Karya Venture dan Republic Mokhmah Records, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah kisah perjalanan muzik yang telah membentuk industri seni tanah air selama berdekad-dekad.
Menurut Shah Nizam Abdul Halim, pengasas SS Karya Venture, konsert ini menampilkan konsep yang lebih daripada sekadar gabungan dua kumpulan.
“Judul Slam X Exists sangat signifikan dengan penganjuran oleh Republic Mokhmah Records dan SS Karya Venture kerana apa yang kami ketengahkan menerusi konsert ini adalah perjalanan panjang Slam dan Exists dalam karier seni mereka.
“Slam dan Exists bukan sekadar kumpulan muzik tetapi juga sebuah jenama kukuh dalam industri hiburan Nusantara menerusi karya-karya bermutu mereka.
“Setelah perbincangan demi perbincangan bersama Slam dan Exists – kerana mereka tidak mahu memberi konsert yang sama tanpa konsep yang jelas – akhirnya kami mencapai kata putus bahawa konsert ini akan ‘bercerita’ tentang perjalanan panjang mereka menerusi Slam X Exists – Our Journey,” jelasnya.
Konsert ini bakal menyajikan pemilihan lagu ikonik daripada kedua-dua kumpulan seperti Rindiani, Gerimis Mengundang, dan Mentari Muncul Lagi (Slam), serta Julia, Langkah Seiringan, dan Jesnita (Exists).
Lebih mengujakan, peminat bakal menyaksikan Zamani dan Ezad berpadu suara dalam satu pentas bersejarah.
“Besar harapan kami agar Slam X Exists – Our Journey menjadi satu momen istimewa buat peminat untuk melihat perjuangan kami, menikmati karya kami, dan menghargai bukan hanya satu kumpulan atau seorang pemuzik, tetapi juga terus menyokong industri muzik dengan cara yang sihat.
“Muzik bukan tentang perjuangan seorang individu, tetapi sesuatu yang menyatukan kita semua, tanpa mengira latar belakang,” tambahnya.
Tiket konsert kini telah mula dijual menerusi www.ilassoTicket.com/slamexists dengan harga bermula dari RM168 hingga RM3,000.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah ini pada 26 Julai 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur!

Comentários