
Peminat animasi popular Ejen Ali kini boleh mula merasai kehangatan ancaman baharu dengan pelancaran treler rasmi pertama Ejen Ali The Movie 2 (EATM2).
Treler tersebut ditayangkan pada 25 Mac, jam 3.00 petang di YouTube dan platform media sosial rasmi Ejen Ali, menandakan permulaan detik penuh debaran menjelang tayangan filem ini di pawagam seluruh negara pada Mei 2025.
Treler berdurasi 1 minit 23 saat itu memberi gambaran awal mengenai ancaman baharu yang dihadapi Ali dan agensi rahsia MATA, kali ini daripada seorang penggodam misteri bernama Neonimus. Dengan Cyberaya kini dalam bahaya, Ali perlu menguasai sut SATRIA bagi mempertahankan kota futuristik itu. Dalam masa yang sama, konflik persahabatan antara Ali dan Alicia semakin teruji apabila Alicia diberikan peranan baharu sebagai pemakai IRIS.
Kombinasi elemen aksi berintensiti tinggi, teknologi futuristik serta elemen emosi menjanjikan pengalaman yang lebih mendalam kepada penonton.
Kehebatan visual treler ini turut diserikan dengan muzik latar berjudul Hanya Kamu, lagu runut bunyi rasmi filem ini yang dinyanyikan oleh legenda muzik tempatan, Dato’ M. Nasir.
Sejak dilancarkan, treler EATM2 mencipta fenomena dengan meraih lebih 300,000 tontonan di YouTube dan 1.3 juta tontonan di TikTok dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
Peminat dari Malaysia dan luar negara, termasuk Indonesia, menyatakan keterujaan mereka di media sosial, dengan ramai yang tidak sabar untuk menyaksikan filem ini di layar perak.

Pengarah Ejen Ali The Movie 2, Usamah Zaid Yasin, turut berkongsi keterujaannya terhadap filem ini.
“Sejak kami mula berkongsi perkembangan EATM2 tahun lalu, banyak teori dan spekulasi timbul mengenai identiti Neonimus. Kami berharap filem ini dapat memberi kepuasan kepada peminat tegar Ejen Ali, selain membawa lebih banyak kejutan, humor, dan momen menyentuh hati dalam perjalanan Ali menjadi versi terbaik dirinya.”
Ejen Ali The Movie 2 diterbitkan oleh WAU Animation dengan kerjasama Primeworks Studios dan Komet Productions.
Dengan kejayaan filem pertama yang ditayangkan pada 2019, sekuel ini dijangka membawa kisah yang lebih mendebarkan, menampilkan risiko lebih besar dan ancaman yang lebih berbahaya.
Ejen Ali The Movie 2 bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada Mei 2025. Peminat boleh mengikuti perkembangan terkini melalui saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios.
Comments