Reviu oleh Azrin Fauzi
Rumusan: 'Twisted: A Different Kind of Fairy Tale” adalah teater terbaru dalam Bahasa Inggeris oleh Big Nose Productions dan klpac yang ditulis dan diarahkan oleh Fa Abdul. Pementasan teater ini berlangsung dari 18 hingga 21 Julai 2024 di Pentas 2, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac).
ENTAH bila kali terakhir saya mendengar kisah dongeng yang diceritakan oleh ibu saya sebelum tidur. Entah bila kali terakhir kita terpukau dengan cerita-cerita sebelum tidur. Dan penyimpangan pertama yang mulai memintal jalan cerita teater ini apabila cerita-cerita sebelum tidur (bedtime stories) bukan lagi disampaikan oleh seorang ibu kepada anaknya, sebaliknya diceritakan—dengan keinginan mereka-reka cerita atau keseronokan bercerita—oleh seorang lelaki, Andy (lakonan Sidhart Joe Dev) kepada anak saudara perempuannya, Lucy (lakonan Ilia). Dek si ibu yang sibuk bekerja, Lucy perlukan cerita—begitu dia benar-benar memujuk bapa saudaranya itu untuk membacakan kisah dongeng daripada sebuah buku—untuk lari daripada realiti (sebagai “escapism”) sebelum Andy memberitahu yang kisah-kisah dongeng daripada buku-buku milik Lucy itu kesemuanya membosankan, sebelum menceritakan kepada Lucy sebuah kisah dongeng yang lain (“a different kind of fairy tale”) yang lebih berjejak dengan realiti (menjadi suatu “exploration”). Untuk Lucy teroka.
Prince Henry (Karam Tabba) yang baru berkenalan dengan Princess Otilia (Violacea Low) dalam “imaginasi” di sebelah kiri sementara Andy (Sidhart Joe Dev) menceritakan “kisah dongeng yang lain” kepada Lucy (Ilia) di sebelah kanan. FOTO: Chan Kien Ming & leggoshoot.
TWISTED: A Different Kind of Fairy Tale terbitan Big Nose Productions dan The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) dengan sokongan Kerajaan Negeri Pulau Pinang; telah diarahkan oleh Fa Abdul dan dipentaskan di Pentas 2, klpac dari 18 hingga 21 Julai 2024. Teater ini turut pernah dipentaskan di penangpac, Pulau Pinang pada Disember 2020. Untuk mempersembahkan kisah dongeng yang lain, TWISTED tidak dibuka dengan “pada suatu masa dahulu” (“once upon a time”). Andy selaku narator cuba menyampaikan—dengan kaedah lisan—sebuah cerita yang tidak menggebu-gebu dengan romansa biasa apatah lagi menyimpul dengan penamat bahagia kebiasaan buat anak saudaranya. Untuk berpegang dengan tradisi lisan ini, menerusi tindakannya yang enggan membaca daripada buku milik Lucy seterusnya menjadi narator dalam teater ini, sebenarnya cubaan untuk berpegang dengan alami foklor atau lipur lara itu sendiri. Alami sebagai suatu yang dikongsi, bukan sahaja perkongsian kepada Lucy (dalam teater ini) malahan juga perkongsian bersama-sama audiens (menerusi pementasan ini).
Telatah Princess Olivia (Swarna Naidu) yang gemar melihat dirinya sendiri di hadapan Magic Mirror (Alvin Looi). FOTO: Goh Bong Hiang.
Saya terpukau bilamana Witch (lakonan Karynn Tan) muncul di atas pentas, dengan segala kehodohan dan kengeriannya, yang sesekali memecahkan dinding keempat untuk berbicara langsung dengan kita. Memberikan watak ini seakan-akan “kuasa” untuk hidup dalam kedua-dua alamnya: alam di dalam cerita dan juga alam di luar cerita bersama dengan kita. Langsung merapatkan kita selaku audiens dengan cerita atau “kisah dongeng yang lain” ini. Saya terusik dan kadangkala terganggu juga bilamana Princess Olivia (Swarna Naidu) tidak habis-habis mempamerkan kecantikan rupa wajah dan tubuhnya di hadapan Magic Mirror yang dipegang oleh seorang laki-laki (Alvin Looi). Dan saya tersenyum—kerana ada cerdiknya—bilamana Andy meletakkan dirinya sendiri sebagai Finn (kerana turut dilakonkan oleh Sidhart Joe Dev) dalam kisah yang sedang diceritakan olehnya kepada Lucy ini; sebagai pengiring dan teman rapat Prince Henry (Karam Tabba); sebagai watak sampingan yang penting dalam menyingkap dan mendedahkan sisi hati yang lain putera raja ini yang pada awalnya dianggap tidaklah benar-benar meminati perempuan melainkan siapa-siapa yang punyai “personaliti” sahaja. Saya tertawa bilamana Finn yang sedang menggilap pedang Prince Henry semakin laju mengggosok dek begitu terpesona dengan nyanyian si putera raja!
Finn (turut dilakonkan oleh Sidhart Joe Dev) yang sedang menggilap pedang Prince Henry (Karam Tabba) sewaktu putera raja itu sedang asyik menyanyi. FOTO: Chan Kien Ming & leggoshoot.
Sememangnya TWISTED memunculkan watak-watak daripada kisah dongeng yang sudah kita kenali. Tetapi dengan jalan cerita yang lain. Dengan penceritaan yang lain. Dengan jalan cerita dan penceritaan berjiwa muda. Untuk anak-anak yang masih muda. Hanya watak-watak tua atau lebih berusia seperti King George (Mithran Balakrishnan) dan permaisurinya, Queen Mary (Caroline Yeoh) dan juga permaisuri dari kerajaan lain, Queen Beatrice (Hilda Looi) yang masih memegang nilai-nilai lama dengan gerakerja konvensional mereka: ingin menjodohkan putera dan puteri masing-masing demi kelangsungan kekuasaan (menyentuh politik) dan sanggup mengenakan cukai yang tinggi kepada rakyat jelata (menyentuh ekonomi) semata-mata untuk mendanai majlis perkahwinan diraja. Apa yang diceritakan menerusi TWISTED sememangnya menambat. Bagaimana caranya diceritakan juga memikat. Sekurang-kurangnya mampu menambat dan memikat si anak gadis bernama Lucy. Kerana dialah “kisah dongeng yang lain” ini dikongsi. Untuk menenteramkan hati tanpa ibu di sisi.
King George (Mithran Balakrishnan) dan permaisurinya, Queen Mary (Caroline Yeoh) sedang mendengar rancangan Queen Beatrice (Hilda Looi) untuk menyatukan putera dan puteri mereka. FOTO: Chan Kien Ming & leggoshoot.
Sememangnya foklor atau lipur lara berfungsi sebegini: kata lipur yang bermakna hapus, justeru untuk menghapus lara yang bermakna pilu sedih atau duka nestapa para pendengarnya. Cerita lisan, kerana penyampaiannya dengan bercerita, berkait rapat dengan pemakaian bahasa dan membebaskan si pendengar (Lucy) untuk berimaginasi kerana pancaindera yang menerima ialah telinga semata-mata (ada bunyi, rentak, dan nada pengucapan; dan ini dilantunkan dengan berkesan oleh narator dalam teater ini)—seperti yang pernah disifatkan oleh W.R. Halliday dalam Indo-European Folktales and Creek Legends (1933) sebagai “daya melepaskan rasa daripada kenyataan … dengan mengalihkan fikiran kepada gambaran-gambaran indah seperti yang dipaparkan oleh si penglipur lara.”—dan bukannya mata sepertimana kita membaca, sepertimana kita menonton suatu persembahan. Dalam pementasan ini, imaginasi sedang dipersembahkan kepada kita selaku audiens (imaginasi yang dibangunkan dengan set, prop, pencahayaan, bunyian, para pelakon dan kostum yang disarung mereka).
Prince Henry (Karam Tabba) yang sedang meluahkan kekesalan dan isi hatinya kepada Princess Otilia (Violacea Low), dari atas menara dengan hanya satu jendela yang mengurungnya sebagai hukuman kerana tidak menurut perintah raja dan permaisuri. FOTO: Chan Kien Ming & leggoshoot.
Dan TWISTED sekali lagi menjadi “kisah dongeng yang lain” dengan mengembalikan kita kepada realiti: bilamana jangkaan audiens yang kuat menyorak “Kiss! Kiss! Kiss!” kepada Princess Otilia (Violacea Low) yang hadir untuk menyelamatkan Prince Henry yang tidak sedarkan diri langsung diputuskan dengan diam dan gelak tawa sebaik sahaja si tuan puteri menampar putera raja untuk menyedarkan dia! Dan “penamat bahagia” buat mereka berdua pula bukannya disimpulkan dengan perkahwinan sebaliknya kekal menjadi sahabat sejati sampai bila-bila, atau diungkap oleh Andy kepada anak buahnya itu sebagai “soulmate”. Dalam teater ini, magisnya pada kisah dongeng lama yang dibelit-belitkan dengan simpulan baru.
Dan moralnya? Siapalah saya untuk beritahu. Benar, saya tidaklah terpukau apatah lagi terpaku dengan set dan prop ala kadar (batuan berbentuk “L” dan “menara” plastiknya serta dua “bendera” yang digantung, semudah-mudah untuk melayangkan “imaginasi” dua buah kerajaan, dengan sokongan latar yang dipancarkan dengan begitu malap sekali pada layar di belakang) sejak awal pementasannya tetapi perlahan-lahan menyedarkan: ‘alam’ yang sedaya upaya cuba ‘hidup’ di hadapan kita ini sebenarnya ialah imaginasi yang sedang dibina dan dibangunkan oleh Lucy—pengimaginasi kecil yang sedang mendewasa.
About the writer.
AZRIN FAUZI
AZRIN FAUZI is a Penang-born writer based in Kuala Lumpur. His short stories and essays have been published in Mekong Review, Samovar, ArtsEquator, and other Malaysian publications. He was a recipient of the Selangor Literary Prize in 2017, 2018, 2019, and 2021; and also the 2023 Penang State Literary Award. In 2019, he co-curated Pesta Playlet, an artist-run non-profit common ground for performance- based initiative through community building, research, workshop, discourse and publications, organised by the Ensembel Teater Kaos Nol. He was also selected to represent Malaysia in the 2019 MASTERA Writing Programme: Essay in Bandung, Indonesia, organised by the Southeast Asia Literary Council (MASTERA).
Comments