
Kalau Aidilfitri sinonim dengan keriangan, Yuna tampil dengan sisi berbeza tahun ini menerusi lagu raya terbarunya, Hilang Dari Raya Ku sebuah karya yang pasti menyentuh hati sesiapa yang pernah merindui seseorang di pagi Syawal.
Ditulis dan diterbitkan sendiri oleh Yuna, lagu ini membawa emosi kehilangan yang mendalam, diiringi alunan cello oleh Azrul Asyraf dan petikan gitar oleh Shafiq Vai. Adunan oleh Kuizz Shah pula melengkapkan sentuhan magis pada melodi syahdu ini.
Menerusi hantaran di media sosial, Yuna mendedahkan lagu ini tercipta selepas dia melihat gambar sepupunya yang telah tiada, menjadikannya sebuah penghormatan buat insan tersayang yang sudah pergi tetapi tetap hidup dalam kenangan.
Video muzik rasmi telah dilancarkan pada 27 Mac 2025 di YouTube, menampilkan visual yang menggambarkan kehangatan memori raya bersama keluarga.
Dalam satu hantaran di media sosialnya, penyanyi itu berkongsi kegembiraan kerana dapat menghasilkan sebuah lagu yang dekat di hati ramai peminat.
Lagu ini juga akan tersedia di semua platform penstriman bermula 31 Mac 2025.
Siap sedia dengan tisu, dan dengarkan sendiri lagu yang bakal menggamit emosi ini.
Comments